Bahagia yang Dicari


“Aaahh! Letihnya. Nasib baik esok cuti. Bolehlah tidur puas-puas.” Zurina bermonolog sendirian sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa dirumahnya. Lantas tangannya mencapai alat kawalan jauh televisyen, dengan niat untuk menonton. Setelah menukar beberapa siaran stesyen televisyen, tiada satu pun yang dapat menarik perhatiannya. Ditutupnya semula televisyen tersebut. dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kosong, sunyi, sepi. Dia mencapai pula beg tangannya, lalu menyeluk tangan ke dalam beg, meraba-raba untuk mendapatkan telefon pintarnya. Dia kemudiannya berbaring dan menyentuh skrin di telefonnya. Dibeleknya aplikasi media sosial yang selalu digunakan, Facebook dan Instagram. Selalunya, dia dapat juga curi tulang untuk bermain telefon sambil bekerja tetapi hari itu, dia terlampau sibuk sehingga tidak langsung berpeluang untuk melihat telefonnya.
“Seronoknya Liyana pergi melancong. Hari tu pergi Beijing, ni pergi Korea Selatan pula. Dia kerja apa ya sekarang?” Zurina bersoal sendiri.
“Dah ada anak dah Syifa ni. Aku rasa macam baru je dia kahwin, dah ada anak dah. Hmmm.” Keluh Zurina.
Malam itu dihabiskan dengan melihat gambar-gambar di Instagram, melihat perkembangan teman-teman lama di sekolah dan juga di universiti dulu. Dia hanya menekan ‘like’ di setiap gambar tanpa memberikan sebarang komen. Bermacam perasaan timbul, dan kebanyakannya, iri hati melihat kehidupan mereka. Zaman sekarang, usia 25 tahun bagaikan titik permulaan bagi perkembangan kehidupan. Tidak hairanlah kebanyakan rakan sebaya Zurina telah pun berkahwin, beranak-pinak, dan juga bekerjaya. Tapi bagi Zurina, dia masih di tahap yang sama. Kerja lima hari seminggu, dari terbit matahari hingga terbenam matahari. Setiap hari yang dilalui sama, tidak banyak yang berubah. Dalam pada dia sibuk melihat media sosial di telefon, matanya terlelap sendiri, keletihan setelah penat seharian bekerja.
            Bunyi deringan telefon mengejutkan Zurina dari lena tidurnya. Dengan mata separa terbuka, dia meraba-raba mencari telefonnya.
“Rina! Tidur lagi ke?” kedengaran suara dihujung talian. Siapa yang menelefon Zurina sudah pasti amat mengenali dirinya sehinggakan dapat meneka apa yang dibuat oleh Zurina di pagi hari Sabtu.
“Erm. Ada apa?” balas Zurina pendek.
“Bangunlah. Kamu kan dah janji nak balik hari ni. Lupa dah ke?” Bebel Puan Zainab, ibu kepada Zurina. Bebelan Puan Zainab membuatkan mata Zurina terbeliak. Lantas dia memandang jam dinding. Pukul 10 pagi. ‘Ah sudah! Terlepas subuh aku!’ Zurina menepuk dahi. Dia bingkas bangun dari sofa, berlari anak menuju ke bilik.
“Mak! Mak! Nanti Rina telefon balik eh! Aaa, Rina balik hari ni. Nanti dah nak balik, Rina beritahu!” Balas Zurina terburu-buru.
Setelah mendengar balasan ibunya, dia mematikan panggilan. Dia lupa dia telah berjanji untuk pulang ke rumah hujung minggu ni. Sepupunya, Nur Jannah, anak Mak Long, akan mengadakan majlis pertunangannya esok. Kalau Zurina tak tunjuk muka, pasti saja dia dijadikan buah mulut dalam kalangan saudara maranya. Nur Jannah dah nak bertunang, dia masih lagi membujang. Kalau tak datang, dikatakan cemburu, kalau datang, pasti akan makan hati dengan soalan-soalan panas dari saudara mara dan jiran tetangga, bagai ditelan mati bapak, diluah mati mak. Demi menjaga hati ibu bapa dan saudara mara, maka Zurina rela menggadaikan raganya.
Zurina bekerja di Melaka, manakala kampung halamannya di Segamat, Johor. Meskipun berbeza negeri, namun jarak perjalanan tidak begitu jauh. Hanya lebih kurang 2 jam perjalanan menaiki kereta, itupun jika tiada kesesakan trafik di bandaraya bersejarah itu. Sebelum menuju ke rumah, dia singgah sebentar di kedai serbaneka  berdekatan rumahnya, membeli snek untuk anak buahnya yang tiga orang itu. Dia tahu anak-anak buahnya pasti mengharapkan sesuatu daripadanya kerana dia selalunya akan membawa buah tangan untuk mereka.
Setelah memilih snek kegemaran Adam, Alya dan Ashraf, dia ke kaunter bayaran untuk membayar. Sementara itu, dia sempat lagi mengambil sekeping bar coklat untuk dirinya berhampiran kaunter pembayaran. Sambil menunggu untuk membuat pembayaran, matanya memerhatikan juruwang di kaunter berkenaan.
“Syahira, kan?” pantas mulut Zurina berkata sambil jarinya menunjuk ke arah juruwang tersebut. Juruwang yang tersentak mendengar seseorang memanggil namanya mengangkat muka. Diperhatikan wajah pelanggannya itu. Setelah beberapa ketika, dia bersuara, “eh, Zurina!”. Terpancar senyuman dibibir Syahira, dihadiahkan sebuah senyuman buat teman lamanya, lalu menyambung semula kerjanya. Dia kemudiannya menyatakan harga yang perlu dibayar oleh Zurina untuk barangan yang dibelinya, lalu menyerahkan sebuah beg plastik yang mengandungi barangan yang dibeli oleh Zurina.
“Syahira kerja kat sini? Dah berapa lama?” soal Zurina, sambil memandang sekeliling untuk memastikan tiada pelanggan lain mahu membuat pembayaran. Dia bimbang kehadirannya mengganggu.
“Dah lama juga. Dalam setahun. Zurina kerja di mana sekarang?” soal Syahira kembali.
“Oh! Rina kerja di Melaka. Ni balik kampung, hujung minggu. Lagipun Nur Jannah, sepupu Rina, nak bertunang. Syahira kenal dia kan?” balas Zurina panjang berjela meskipun tidak disoal. Syahira cuma mengangguk. Baru sahaja Zurina ingin menyambung perbualan, seorang pelanggan tiba di kaunter pembayaran. Zurina merasakan kehadirannya menganggu kerja Syahira, lalu dia mengundur diri dan mengucapkan selamat tinggal buat Syahira.
Di dalam kereta, Zurina terfikir tentang Syahira. Sudah 8 tahun mereka berdua tidak bertemu setelah menamatkan persekolahan. Mereka berdua berada di dalam kelas yang sama, 5 Sains, namun hubungan mereka tak begitu rapat. Sekadar mengetahui nama dan serba sedikit latar belakang masing-masing. Tidak lebih daripada itu. Apa yang pasti semua orang tahu termasuk dirinya, Syahira merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Cemerlang bukan sekadar dalam akademik, namun dia mempunyai personaliti yang menonjol, berkepimpinan dan disegani oleh pelajar-pelajar lain. Sudah tentu dia diceremburui oleh kebanyakan pelajar, termasuklah Zurina.
Apa yang menjadi tanda tanya di minda Zurina, kenapa Syahira hanya bekerja di kedai serbaneka? Sebagai juruwang? Bukan niatnya untuk merendah-rendahkan pekerjaan Syahira, tetapi baginya, suatu yang aneh jika seorang pelajar cemerlang dulunya, kini hanya bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka. Dia tidak sambung pelajarankah? Setahu Zurina, Syahira menyambung pelajaran ke matrikulasi setelah tamat SPM. Dia tak lulus semasa di matrikulasi? Ah! Mustahil pelajar pintar sepertinya tidak lulus. Sedang Zurina sibuk merungkai misteri tentang Syahira dan memikirkan siapa harus dituju untuk mengorek kisah tentang Syahira, kereta yang dipandunya sudahpun tiba diperkarangan rumahnya. Kelihatan beberapa buah kereta saudara mara yang lain turut berada di halaman rumah. Tanpa membuang masa, dia segera keluar daripada kereta untuk bertemu dengan keluarganya.
Malam itu, setelah selesai membasuh pinggan di dapur rumah Mak Longnya, Zurina menjengah ke bilik Nur Jannah untuk berbual-bual dengan sepupunya itu, sambil melihat barang-barang hantaran yang sedang digubah sendiri oleh Nur Jannah. Sungguh cantik dulang-dulang hantaran bertemakan warna biru kehijauan yang digubah sendiri oleh Nur Jannah, cantik, seperti orangnya. Begitulah Nur Jannah, meskipun dia kurang cemerlang dalam pelajaran, namun dia sangat kreatif dan berseni. Jika ada contengan di dinding sekalipun, dia boleh ubah contengan tersebut menjadi satu corak yang indah dipandang. Tambahan pula, orangnya cantik, lemah lembut, sopan, untung bakal suaminya. Tak hairanlah ada orang nak masuk meminangnya.
“Jannah, ingat tak Syahira, teman sekelas Rina masa sekolah dulu?” soal Zurina kepada Nur Jannah. Nur Jannah yang sibuk meletakkan sentuhan terakhirnya terhadap dulang hantaran terhenti seketika, mengangkat muka, memandang tepat ke mata Zurina. Dia sedikit hairan dengan soalan Zurina yang tiba-tiba bertanyakan tentang kawan sekolahnya.
“Ingat. Kenapa Rina tanya?” balas Nur Jannah lantas menyambung semula kerjanya.
“Dia kerja kat kedai serbaneka berdekatan taman perumahan depan sana tu kan?” soal Zurina lagi. Kedai serbaneka tempat Syahira bekerja berdekatan dengan rumah Nur Jannah. Sudah pasti Nur Jannah sering singgah ke kedai berkenaan, maka mesti dia tahu Syahira bekerja di situ. Nur Jannah pun hanya menetap di situ, tidak berhijrah ke tempat lain, mana tahu dia ada dengar cerita tentang Syahira. Entah mengapa, perasaan ingin tahunya tentang Syahira makin membuak. Dia bukan menyimpan dendam, mahupun ingin menjaga tepi kain orang lain, cuma ingin tahu tentang sebab sebenar Syahira bekerja di situ, akhirnya. Yalah, kalaulah dia mempunyai kebijaksanaan seperti Syahira, sudah pasti dia sekarang bekerja di syarikat ternama, jika tak pun, sudah menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah.
“Betul lah tu. Dia kerja di situ. Dah lama juga.” Balas Nur Jannah.
“Kenapa dia kerja kat situ?” soal Zurina pantas. Nur Jannah menatap wajahnya lagi. Kali ini dengan renungan lebih tajam, ditambah kerutan di dahi.
“Entah. Tanyalah dia. Kenapa Rina tanya? Tak boleh ke dia kerja kat situ?” soal Nur Jannah kembali. Jawapan Nur Jannah tidak memberikan kepuasan terhadap Zurina. Bagi Nur Jannah, tiada salahnya Syahira bekerja di situ. Jelas sekali pemikiran mereka berdua tak sehaluan. Otak Zurina kembali ligat berfikir, dengan siapa lagi harus dia tuju untuk memenuhi rasa ingin tahunya. ‘Ah! Tak boleh jadi. Esok, lepas majlis, aku nak jumpa sendiri dengan Syahira.’ Getus hati Zurina.
Seusai majlis pertunangan Nur Jannah, Zurina singgah ke kedai serbaneka tempat Syahira bekerja. Dia berharap Syahira ada di kedai, jika tiada, sudah pasti Zurina tidak keruan. Di mana pula dia mahu mencari Syahira, bukannya dia tahu Syahira tinggal di mana. Sudahlah malam ini dia harus pulang ke Melaka kerana esok sudah mula berkerja. Dia memarkir kereta betul-betul dihadapan kedai berkenaan. Baru sahaja dia keluar kereta, terlihat kelibat Syahira keluar daripada kedai, memegang topi keledar.
“Syahira!” jerit Zurina memanggil Syahira. Bimbang tidak sempat mengejar.
“Eh! Zurina. Ada apa?” soal Syahira. Jelas sekali di wajahnya seribu tanda tanya.
“Er. Er. Awak, dah habis kerja?” soal Zurina tergagap-gagap.
“Ya. Baru sahaja. Kenapa?” Syahira kembali menyoal.
“Kalau awak ada masa, saya ingin ajak berbual. Itu pun kalau tak mengganggu awaklah.” Pelawa Zurina. Bimbang juga dia mengganggu. Jika ajakan kali ini ditolak, minggu depan dia balik semula, ataupun minta nombor telefon Syahira, dan hubunginya melalui telefon. Zurina sudahpun menyediakan perancangan jika ajakannya ditolak. Begitulah Zurina, dia seorang yang degil, tapi degilnya itulah yang menjadikannya dirinya seperti sekarang, tak mudah berputus asa untuk mendapatkan kemahuannya.
“Bila? Sekarang?” Syahira menyoal. Zurina balas dengan anggukan.
“Baiklah. Boleh. Tak ada masalah. Tapi kita nak berbual di mana?” Syahira bersetuju dengan ajakan Zurina. Zurina tersenyum puas, namun hanya bertahan seketika. Kini dia memikirkan bagaimana untuk dia tanyakan tentang perkara yang ingin diketahuinya kepada tuan badan sendiri. Timbul rasa kesal dalam dirinya kerana terlalu ingin tahu tentang kehidupan orang lain. Terasa seperti dirinya sibuk menjaga tepi kain orang lain. Tapi apakan daya, dia tak mampu menolak rasa ingin tahunya, dan kini, Syahira sedang duduk di hadapannya, di sebuah kedai makan sederet dengan tempat kerja Syahira.
Setelah memesan makanan serta minuman, kedua-duanya agak kekok untuk memandang wajah satu sama lain. Kedua-duanya masih keliru mengapa mereka berada di situ. Hubungan mereka semasa di sekolah dahulu tidaklah begitu baik. Nak dikatakan bermusuh itu tidaklah, tetapi mereka bukan berkawan baik. Oleh yang demikian, bukan kebiasaan untuk mereka berdua duduk di satu meja, berhadapan antara satu sama lain.
“Zurina bekerja di Melaka di kawasan mana?” soal Syahira memecah kesunyian. Zurina seakan tersentak daripada lamunan. Dia dari tadi sibuk menyusun ayat di dalam mindanya, bimbang Syahira terasa hati dengan soalannya.
“Aaa. Dekat dengan MITC, Ayer Keroh. Ada satu firma akauntan kat situ.” Balas Zurina. Keadaan kembali menyepi. Hanya bunyi televisyen yang dipasang di kedai makan yang kedengaran, kadangkala dengar bunyi motor dan kereta yang lalu lalang.
“Ada apa Zurina ajak Syahira berbual hari ni?” Syahira terus kepada soalan utama. Syahira boleh dikatakan sebagai seorang introvert, sukar sekali dia ingin berbual kosong dengan orang yang tidak rapat dengannya. Memandangkan Zurina sendiri mengajaknya dengan bertemu empat mata, sudah pasti dia tidak dapat menolak.
“Erm. Rina nak tanya sesuatu, tapi Syahira janganlah anggap soalan ni suatu penghinaan, Syahira jangan ambil hati dengan soalan Rina ni. Rina cuma nak tahu, kenapa Syahira kerja kat kedai serbaneka tu saja?” Zurina juga berterus terang tentang niat sebenarnya memandangkan Syahira sudah bertanya. Soalannya dibalas dengan senyuman oleh Syahira. Senyuman yang penuh makna itu dirasakan seperti sesuatu yang hangat, bukan dingin mahupun senyuman sinis. Namun Zurina masih tidak dapat membaca makna disebalik senyuman itu.
“Kenapa Syahira senyum?” soal Zurina, bimbang Syahira ambil hati dengan soalan yang diajukan olehnya.
“Tak ada apa. Cuma Syahira dapat agak Zurina nak tanya soalan tu. Sebelum ni ada juga beberapa orang yang bertanyakan soalan yang sama. Kawan-kawan di  sekolah dan ada juga cikgu yang bertanyakan soalan ini.” jelas Syahira. Zurina cuma berdiam diri dan sedikit lega kerana Syahira tidak terasa hati dengannya. Dalam masa yang sama, dia rasa bersalah. Sudah pasti Syahira letih menjawab soalan yang sama berulang kali.
“Syahira dah habis belajar, setahun yang lepas, peringkat ijazah sarjana. Sebulan selepas konvokesyen, ayah Syahira meninggal dunia. Jadi di rumah, hanya tinggal berdua, Syahira dan ibu,. Adik-beradik yang lain sudah mempunyai pekerjaan yang stabil dan juga keluarga sendiri. Semuanya tinggal jauh. Tak lama selepas itu, ibu didiagnos menghidapi kanser payudara. Mujur belum teruk, hanya di tahap dua. Syahira tak sampai hati tinggalkan ibu sendirian di rumah. Jadi Syahira ambil keputusan untuk tinggal di rumah bersama ibu, dan bekerja di kawasan berhampiran rumah.” Panjang lebar Syahira bercerita. Zurina mendengar dengan tekun.
“Tak boleh kah Ibu tinggal dengan adik-beradik lain? Ataupun Syahira bawa ibu bersama-sama ke tempat lain, ke tempat yang lebih luas peluang pekerjaannya. Tak rasa membazir kah hanya habiskan usia muda bekerja sebagai seorang juruwang?” Soal Zurina lagi tanpa berfikir. Setelah soalannya tamat baru dia menyesal bertanyakan soalan berkenaan. Baginya soalan itu sangat lancang untuk ditanyakan.
“Beginilah. Erti kebahagiaan berbeza bagi setiap individu. Apa yang dikejar oleh setiap individu juga berbeza mengikut keperluan dan situasinya. Ada yang mengejar harta, ada yang mengejar cinta, ada juga yang bukan sekadar mengejar, tetapi berlumba-lumba untuk memiliki setiap apa yang dimiliki oleh orang lain, kerana menganggap itu adalah ‘kebahagiaan’. Tetapi bagi Syahira, sekarang adalah saat paling bahagia. Masih dikurniakan kesempatan untuk berbakti kepada ibu, masih diberi peluang untuk berkasih sayang dengan ibu. Alhamdulillah, segala keperluan fizikal cukup, boleh dikatakan kami bukan orang yang susah, pencen ayah masih ada, tak kurang juga sumbangan daripada adik-beradik yang lain. Membazir? Apa yang dimaksudkan dengan membazir? Adakah disebabkan dah belajar tinggi, tapi hanya bekerja sebagai juruwang? Ilmu yang kita tuntut bukan sekadar untuk digunakan di alam pekerjaan bukan? Jadi, tiada istilah membazir kerana niat Syahira menuntut ilmu bukan untuk bekerja dan pangkat semata. Itu semua boleh dibuat nanti, jika terbuka hati. Bagi orang lain, mungkin ini bukan kehidupan yang mereka mahu, tapi bagi Syahira, ini yang diimpikan sejak dulu lagi.” Zurina terdiam sekali lagi. Sungguh berbeza pemikiran mereka berdua. Namun jawapan daripada Syahira dapat memuaskan hatinya, menghilangkan tanda tanya yang bermain dalam pemikirannya. Sungguh, Syahira bukan gadis yang biasa.
“Maaf ya Zurina, hari sudah lewat. Syahira perlu balik, bimbang ibu di rumah. Oh ya, ni kad Syahira, Syahira ada buat tutor untuk pelajar yang lemah dalam pelajaran. Percuma sahaja. Jika Zurina ada saudara-mara yang memerlukan, beritahu mereka ya.” Ucap Syahira sambil menyerahkan kad berkenaan kepada Zurina. Zurina masih terdiam membisu. Syahira berlalu pergi setelah mengucapkan selamat tinggal.
Kad yang diberi oleh Syahira masih direnung oleh Zurina. Dia tersenyum sendiri. Tidak menyangka pertemuannya semula dengan Syahira memberikan seribu satu pengajaran buatnya. Tidak semua orang mencari ‘bahagia’ yang sama. Di saat itu, Zurina tertanya-tanya, ‘bahagia’ yang manakah yang dia cari selama ini.

Comments