Bukan aku!
“Bukan aku!” jerit Hanif yang tersedar dari mimpinya.
Peluh dingin membasahi tubuh badannya. Segera dia beristighfar setelah dia
sedar ia hanya sebuah mimpi. Ini bukanlah kali pertama dia terjaga dari
mimpinya. Mimpi tentang zaman kanak-kanaknya. Tentang dia yang sedang seronok
bermandi-manda bersama teman-teman di sungai belakang rumah neneknya. Ya, dia
pasti sungai dalam mimpinya itu adalah sungai di belakang rumah neneknya. Sewaktu
kecil dahulu, pantang sungai itu menimbulkan pasir dipermukaan menandakan
ceteknya air sungai tersebut, dia tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda
di sungai itu bersama jiran sekampung yang berumur lebih kurang sebaya
dengannya. Meskipun air sungai yang mengalir itu tidak jernih seperti air
gunung, warnanya seakan teh susu, ia tidak menjadi penghalang untuk dia dan
kawan-kawannya menikmati zaman kanak-kanak mereka.
“Abang mimpi tu lagi ke?” soal isteri Hanif, Aini, yang
terjaga dek teriakkan suaminya itu.
“Ya. Eh, tidak. Tak ada apa-apa. Tidurlah.” Balas Hanif,
tak mahu isterinya bimbang. Aini kembali berbaring dan terus terlena.
Melihat isterinya sudah terlena, dia
cuba untuk kembali menutup mata. Mimpi tadi masih jelas terbayang setiap kali
matanya ditutup. Dia buka kembali matanya lalu melihat jam di telefonnya. Jam
menunjukkan pukul 3.05 pagi. Masih lama untuk menunggu sehingga waktu subuh.
Dia cuba sekali lagi untuk melelapkan mata. Masih tak berhasil. Mimpi tadi
masih lagi membayangi dirinya. Dia bingkas bangun dari katil, menuju ke bilik
mandi dan terus mengambil wudhuk untuk menunaikan solat taubat dan tahajud. Dahulunya
dia jarang sekali menunaikan solat sunat di malam hari. Akan tetapi, semenjak
dia melalui mimpi yang sama berulang kali dan mimpinya itu membuatkan dia
terjaga dari lena, dia sering melaksanakannya. Baginya itu satu petanda
untuknya bangkit dan mendekatkan diri dengan pencipta-Nya.
Pagi itu, semasa bersarapan bersama isterinya, Aini bertanyakan lagi tentang mimpi yang dialami Hanif malam tadi.
“Abang mimpi tu lagi ke malam tadi?” soal Aini sambil menyendukkan bihun goreng yang dimasaknya selepas solat subuh pagi tadi. Sudah menjadi rutinnya untuk memasak sarapan di hari cuti begini.
“Ya. Masih mimpi yang sama.” Akui Hanif. Dia pernah menceritakan mimpinya itu kepada isterinya kerana dia sering membuatkan isterinya terjaga.
“Abang tak mahu cuba berubat ke? Atau ceritakan pada orang yang bijak pandai dalam hal ni?” usul Aini yang bimbang akan suami yang telah dikahwininya sejak dua tahun yang lalu.
“Tak ada apalah. Mimpi mainan tidur saja tu.” Balas Hanif. Bukan pertama kali isterinya itu mencadangkan benda yang sama, namun ditolak mentah oleh Hanif. Biarlah mimpinya itu berakhir sendiri.
“Tapi kan dah banyak kali Abang mimpi benda yang sama. Saya rasa Abang mula mimpi yang bukan-bukan ni sejak Abang pergi ke reunion bersama rakan sekolah Abang. Betul tak?” soal Aini.
Hanif hanya berdiam diri, tetapi dia mengiyakan di dalam hati. Ya, sejak pertemuan semula dengan rakan-rakan sekolahnya tiga bulan lepas, dia sering diganggu mimpi itu. Dalam mimpi tu juga, beberapa rakan sekolahnya turut ada. Hanif bingkas bangun daripada kerusi tanpa menjamah sedikit pun bihun goreng yang dihidang isterinya. Dia masuk ke dalam bilik untuk mengambil telefon bimbitnya. Aini yang bingung dengan kelakuan suaminya turut mengekori Hanif ke dalam bilik.
“Abang tak nak makan ke? Makanlah dulu.” Ajak Aini.
“Kamu makan dulu. Nanti Abang makan.” Balas Hanif tanpa menoleh sedikit pun kepada isterinya.
Aini keluar semula untuk mengisi perutnya yang kosong. Dia tahu tidak ada gunanya membantah kata-kata suaminya yang keras kepala itu. Daripada dia makan hati, lebih baik dia makan bihun yang digorengnya pagi itu.
Hanif mencari nombor telefon Yazid, rakan sekolahnya yang hadir semasa reunion mereka tempoh hari. Dia yakin dia ada menyimpan nombor telefon rakannya itu. Jika diingat kembali, Yazid merupakan salah seorang rakan yang muncul dalam mimpinya. Dia yakin kerana mimpi itu sudah dialaminya berkali-kali. Bibirnya mengukir senyuman setelah menemui apa yang dicari. Dia lantas menelefon rakannya itu.
“Assalamualaikum. Yazid?” ucap Hanif sebaik sahaja panggilannya dijawab.
“Wa’alaikumsalam. Ya. Hanif, ada apa?” Yazid menjawab panggilan telefon dengan suara yang masih serak. Dia terpinga-pinga menerima panggilan telefon dari teman lamanya pada pagi Sabtu itu.
“Er. Yazid, kau ada di mana? Boleh kita berjumpa?” soal Hanif, teragak-agak. Dia sendiri ragu dengan tindakannya yang tiba-tiba itu.
“Kat rumah. Nak jumpa kat mana?” soal Yazid kembali.
Yazid berasa curiga dengan permintaan Hanif untuk bertemu dengannya. Ini pertama kali Hanif mengajaknya untuk berjumpa. Setahu Yazid, Hanif bukanlah ejen insurans mahupun ejen jualan langsung yang ingin menjadikan dirinya sebagai salah seorang pelanggan.
“Kat rumah kau pun tak apa. Kau kongsikan lokasi, nanti aku datang.” Cadang Hanif.
“Eh, tak perlulah datang ke rumah. Aku bagi lokasi kedai makan dekat dengan rumah aku, kita jumpa kat situ. Aku pun masih belum sarapan ni.” Balas Yazid.
Segan pula rasanya untuk dia menerima tetamu. Dia menyewa bilik sahaja, rumah orang bujang, tahu-tahu sajalah. Hanif bersetuju lantas dia menukar pakaian yang bersesuaian untuk keluar.
“Abang nak ke mana ni?” soal Aini setelah melihat suaminya menukar sepersalinan pakaian dan memegang kunci kereta.
“Abang nak keluar sekejap. Jumpa kawan. Awak jaga diri ya, nanti ada apa-apa, saya beritahu.” Pesan Hanif. Aini hanya mengangguk tanda faham.
Hanif memandu keretanya menuju ke lokasi yang diberikan oleh Yazid. Tak terlalu jauh dari rumahnya, lebih kurang 20 minit perjalanan. Sambil memandu menelusuri jalan raya yang kurang sibuk itu, Hanif menyusun kata-kata dan soalan-soalan yang ingin dia ajukan kepada Yazid di dalam mindanya. Tiba di lokasi yang dituju, dia menelefon kembali Yazid untuk memberitahu ketibaannya. Dia melihat Yazid melambai-lambai ke arahnya dari tempat duduk di kedai makan tersebut, lantas dia mematikan enjin kereta dan keluar darinya, menuju ke arah Yazid. Setelah memesan air teh tarik dan nasi lemak, Hanif memulakan perbualan dengan bertanya khabar. Setelah bertanya khabar, Hanif terus dengan agenda utamanya. Begitulah Hanif, jarang berselindung mahupun berdolak-dalih.
“Kau ingat dulu masa kecil-kecil, kita selalu mandi sungai di belakang rumah nenek aku?” soal Hanif.
“Mestilah ingat. Zaman budak-budak lagi tu. Tapi sejak kau dengan Farid lemas, mana ada kita mandi sungai lagi. Kenapa kau tanya?” jawab Yazid. Ya, dia ingat lagi peristiwa itu. Dia pernah lemas dan sejak dari itu, dia tidak suka berada di dalam air, tidak kira sungai, laut, mahupun kolam mandi. Tetapi, siapa Farid?
“Farid? Siapa Farid?” soal Hanif. Dalam memorinya, tiada seorang pun rakannya bernama Farid. Jika ada pun rakan sekuliahnya semasa di Universiti.
“Eh, kau tak ingat ke? Masa kau lemas tu, kau dengan Farid lah. Sepupu kepada Farah, budak kampung kita tu.” Jelas Yazid.
“Farah? Yang bisu tu?” soal Hanif meminta kepastian.
“Ya, dialah.” Balas Yazid. Dia memerhatikan riak wajah Hanif di hadapannya.
“Kenapa kau tanya?” soal Yazid yang curiga dengan Hanif.
“Kalau Farah tu, aku ingat, tapi Farid, dia kawan sekolah kita ke?” soal Hanif, yang masih tidak dapat mengecam siapakah Farid. Dia mengabaikan soalan Yazid kerana tumpuannya kini untuk mengembalikan memori masa kecilnya.
“Taklah. Dia bukan sekolah sama dengan kita. Dia bukan budak kampung kita pun. Masa tu dia tinggal di rumah Farah semasa cuti sekolah.” Jelas Yazid.
Kosong. Tidak ada satu pun dalam memorinya terselit wajah Farid. Adakah dia …
“Kenapa kau ungkit kembali kisah lama ni? Ada apa-apa ke?” soal Yazid kembali.
“Sejak balik daripada reunion kita dulu, aku selalu mimpi benda pelik. Mimpi dia berulang, benda yang sama, orang yang sama. Kau pun ada dalam mimpi tu.” Jelas Hanif.
“Mimpi? Mimpi apa? Kenapa aku ada sekali?” soal Yazid kebingungan.
“Mimpi masa kita mandi sungai masa kecil-kecil dulu. Seronok main air. Aku, kau, Faizal, Ikram dengan beberapa orang lagi. Tengah kita seronok bermandi-manda, tiba-tiba ada benda hanyut ke arah kita. Apabila benda tu dah sampai dekat, rupa-rupanya, benda yang hanyut tu adalah mayat seorang budak lelaki. Lepas kita semua nampak mayat tu, semua orang pandang ke arah aku. Lepas tu, aku akan tersedar.” Panjang lebar Hanif bercerita. Yazid hanya diam.
“Mimpi mainan tidur saja tu.” Ucap Yazid setelah dia terdiam buat seketika.
“Itulah. Aku pun rasa macam tu. Kau tahu Farah kat mana sekarang?” soal Hanif.
“Masih ada kat kampung. Kau tak jumpa dia masa reunion hari tu ke? Dia ada datanglah. Dia dah cantik sekarang.” jelas Yazid, tersenyum-senyum sendiri.
“Ada ke? Mungkin aku balik awal, tak terserempak dengan dia.” balas Hanif.
“Eh, tak lah. Dia antara orang terawal datang. Sekejap, aku nak cari gambar kita beramai-ramai. kau tak cam dialah tu.”
Yazid mencari gambar yang diambil bersama-sama tiga bulan yang lepas di dalam galeri telefonnya. Setelah jumpa gambar yang diambil bersama lebih kurang 50 orang rakan sekolah rendah mereka, Yazid menunjukkan gambar Farah kepada Hanif. Setelah melihat gambar tersebut, baru Hanif teringat, gadis itulah yang sering merenungnya semasa majlis reunion tersebut. Disangkanya gadis itu berminat dengannya, kerana itu dia direnung. Sedar akan statusnya sebagai seorang suami dia sengaja berpura-pura tidak perasan akan renungan itu.
“Kau ada nombor Farah?” soal Hanif.
“Eh, kau bukan dah kahwin ke? Buat apa nak nombor dia?” balas Yazid.
“Ish kau ni. Aku nak tanya dia tentang Faridlah.” Jelas Hanif.
“Oh, begitu. Baiklah, nanti aku beri. Jom makan, nanti sejuk.” Yazid mempelawa Hanif untuk makan makanan yang telah tiba semasa mereka asyik berbual sebentar tadi.
Sepanjang perjalanan ke rumah selepas pertemuan bersama Yazid, Hanif tidak berhenti daripada memikirkan kembali memori zaman kanak-kanaknya. Ya, dia pernah lemas, tetapi memori itu seakan terpadam daripada kotak pemikirannya. Seingat Hanif, selepas kejadian lemas semasa dia berumur 11 tahun itu, dia hanya duduk di rumah. Ibu bapanya tidak membenarkan dia ke mana-mana bersendirian, lagi-lagi ke rumah neneknya.
Rumah nenek Hanif hanya beberapa ratus meter dari rumah kedua ibu bapanya. Hanif akan ke rumah neneknya jika ibu dan bapanya tiada di rumah. Abang dan kakak Hanif bersekolah asrama, oleh yang demikian, dia terpaksa tinggal di rumah neneknya selepas balik dari sekolah. Tetapi selepas peristiwa itu, ibu Hanif berhenti kerja dan berniaga secara kecil-kecilan dari rumah, demi menjaga anaknya itu. Hanya setakat itu memori yang dapat diimbau oleh Hanif. Tidak terlintas langsung kisah Farid yang lemas bersama-samanya di sungai itu. Tiada seorang pun pernah menyebut tentang Farid. Tiada. Tapi kenapa?
Setibanya di rumah, Hanif masuk ke bilik. Dia memeriksa telefonnya untuk melihat sama ada Yazid telah memberikan nombor telefon Farah kepadanya. Dia tersenyum melihat Yazid telah menunaikan janjinya. Pada mulanya, dia ingin terus menelefon Farah, namun dibatalkan kerana dia baru teringat akan keadaan Farah yang tidak boleh bertutur. Dia menghantar pesanan melalui Whatsapp.
‘Assalamualaikum. Farah, saya ni, Hanif.’ - Hanif
Pesanan sudah di hantar, namun tiada balasan. Setelah menunggu beberapa ketika, masih lagi tiada balasan daripada Farah. Hanif berbaring, dia melelapkan matanya. Sungguh berat rasanya dia ingin terus membuka kelopak matanya itu. Mungkin terlalu banyak berfikir membuatkan dia letih.
“Kau siapa?” Hanif bertanyakan kepada seorang budak lelaki yang sedang bertinggung bermain kayu dan kayu. Budak itu tidak menoleh.
“Tak dengar ke aku tanya ni? Kau siapa? Apa kau buat kat sini?” soal Hanif sekali lagi setelah menapak beberapa langkah mendekati budak lelaki terbabit. Masih tiada sebarang respon. Hanif mula curiga, dia mendekati budak lelaki itu lalu mencuit bahu kanak-kanak tersebut. Tiba-tiba budak lelaki tersebut jatuh ke dalam sungai.
“Tolong!” jerit Hanif lantas terjaga daripada mimpi. Kepalanya basah dengan peluh, begitu juga dengan belakang badannya. Nafasnya tercungap-cungap, jantungnya berdegup laju.
“Abang! Ada apa ni?” soal Aini yang baru muncul di muka pintu bilik mereka. Dia terdengar akan jeritan suaminya dari ruang tamu apartment yang telah didiami mereka sejak mendirikan rumah tangga.
Hanif hanya berdiam diri, memandang sekeliling. Nafasnya mula reda, jantungnya juga. Dia segera beristighfar apabila sedar apa yang dialaminya hanyalah sebuah mimpi. Aini datang mendekati suaminya, meletakkan tapak tangannya di atas dahi Hanif. Suhunya normal, tidak sejuk, tidak pula panas, menandakan suaminya sihat sahaja.
“Abang okay tak ni? ” soal Aini sambil mengerutkan dahinya tanda khuatir.
“Okay. Pukul berapa ni?” soal Hanif.
“Pukul 1.30 tengah hari. Jom makan, saya tunggu abang bangun untuk makan bersama.” Jawab Aini.
Hanif baru teringat akan pesanan teks yang dihantarnya kepada Farah lalu lantas dia mencapai telefon untuk melihat sama ada sudah terima sebarang respon atau tidak. Hanif mengeluh. Masih tiada balasan namun dia lihat bahawa Farah telah pun membaca mesej yang dihantarnya. Kecewa mesejnya tidak dibalas, dia menuruti isterinya ke dapur untuk makan tengah hari.
Malam itu, selesai solat isyak, telefon Hanif berbunyi menandakan ada mesej masuk. Segera dia melihatnya. Itulah reaksinya sejak daripada tengah hari tadi setiap kali telefonnya berbunyi.
‘Wa’alaikumsalam. Ya, saya Farah. Ada apa?’ – Farah.
Hanif tersenyum lega. Persoalan dan tanda tanya yang bermain di benaknya kini semakin terungkai.
‘Maaflah tiba-tiba saja muncul. Tujuan saya hubungi Farah ni adalah untuk bertanyakan beberapa soalan.’ – Hanif.
‘Tanyalah.’ – Farah.
‘Farid sepupu Farah, dia dimana sekarang?’ – Hanif.
Mesej Hanif tidak berbalas. Hanif menunggu. 5 minit. 10 minit. 15 minit. Kini sudah hampir satu jam, masih juga tidak berbalas. Farah tertidurkah? Masih awal. Jarum jam masih belum menunjukkan jam 10 malam. Jika keadaan Farah tidak membataskan untuk dia menelefon terus untuk bertanya langsung kepada, sudah pasti dia akan lakukannya. Akan tetapi, ia mustahil. Farah sememangnya dilahirkan dengan keadaan bisu. Hanya dengan cara ini sahaja dia boleh berhubung. Hanif mengeluh lagi. Dia sangkakan hampir saja menemukan jawapan, tetapi kunci kepada jawapan tidak berada dalam genggamannya. Baru saja dia buat keputusan untuk mencuba lagi pada keesokan harinya, telefonnya berbunyi.
‘Saya sangkakan awak berpura-pura selama ini. tetapi melihat kepada pertanyaan awak malam ni, ia meyakinkan saya bahawa awak memang benar-benar hilang ingatan.’ – Farah.
Hanif terpinga-pinga. Berpura-pura? Hilang ingatan? Dia masih cuba memahami isi daripada mesej Farah.
‘Berpura-pura? Hilang ingatan? Maksud Farah?’ – Hanif.
‘Farid dah tiada. Sudah lama dia tiada. Dia tak dapat diselamatkan selepas lemas bersama awak dulu.’ – Farah.
Tangan Hanif mengigil, anak matanya kehilangan fokus. Tadinya dia berdiri, kini dia terduduk di atas katilnya. Kenapa Yazid tak beritahu dia bahawa Farid telah pun meninggal dunia. Dia sangkakan Farid dapat diselamatkan kerana dia juga dapat hidup, bernafas seperti biasa sehingga ke hari ini. Setelah Hanif mulai tenang, dia kembali menyoal Farah. Tanda tanyanya kian meningkat, rasa ingin tahunya makin membuak-buak.
‘Kenapa awak ingat saya berpura-pura? Kenapa saya tak tahu Farid tak dapat diselamatkan pada hari itu?’ – Hanif.
‘Sebenarnya, saya jadi saksi pada hari itu. Saya nampak apa yang terjadi. Tapi saya tak dapat nak beritahu sesiapa.’ – Farah.
‘Saksi? Apa yang berlaku sebenarnya? Tolonglah Farah, saya nak tahu. Sejujurnya, saya memang tak tahu apa-apa.’ – Hanif
‘Farid mengajak saya untuk melihat sungai. Dia kata dia teringin untuk memancing di tepi sungai. Saya menyuruh dia pergi dahulu kerana saya ingin mengambil joran buluh yang disembunyikan ibu yang tidak suka saya bermain di tepi sungai. Apabila saya tiba berhampiran sungai itu, saya nampak awak menghampiri Farid dan menolak dia jatuh ke dalam sungai. Melihat Farid jatuh ke dalam sungai, awak juga terjun ke dalam sungai. Melihat kamu berdua hanyut dek arus deras, saya terus berlari untuk mendapatkan bantuan. Malangnya, Farid tak dapat diselamatkan.’ – Farah.
Hanif diam terkaku. Dia membaca cerita Farah seakan-akan bukan dia yang menjadi watak dalam cerita itu. Tidak, tidak mungkin dia menolak Farid. Dia akui semasa zaman kanak-kanaknya, dia memang nakal. Mencuri buah rambutan di kebun orang, ponteng kelas mengaji untuk pergi bermain, sorok-sorok bermain api di belakang rumahnya untuk bermain masak-masak. Itu semua sememangnya pernah dia lakukan tetapi dia yakin akan pertimbangan akalnya tentang harga sebuah nyawa. Tak mungkin dia menolak Farid ke dalam sungai. Jika ingin bergurau sekalipun, Farid bukanlah teman sepermainannya.
‘Kenapa awak tak beritahu sesiapa yang saya tolak Farid?’ - Hanif.
‘Saya beritahu ibu saya tetapi dia tidak percaya. Kami sekeluarga sedih dengan pemergian Farid. Ibu menganggap saya tersalah pandang. Ibu saya kenal awak dan keluarga awak. Dia tak percaya yang awak sanggup berbuat sedemikian. Oleh sebab itu, saya hanya diam dan memerhatikan tingkah laku awak dari jauh. Keluarga awak katakan awak hilang ingatan tentang kejadian itu. Tetapi saya masih tidak percaya kerana saya yakin dengan daya penglihatan saya. Ya, saya bisu, tapi saya tidak buta.’ – Farah.
Hanif yang tadi terkejut, kini dia marah. Dia marah dengan dirinya yang tak mampu mengimbau kembali memori itu. Memori yang telah terpadam terus dari ingatannya. Dia mengetuk belakang kepalanya beberapa kali, cuba untuk mengingat kembali memori itu. Hampa. Usahanya tidak berjaya. Dia ingin ingatannya kembali supaya dia dapat membuktikan kepada Farah bahawa apa yang dilihat Farah itu tidak benar. Ataukah ia benar? Siapa dia untuk menidakkan cerita daripada satu-satunya saksi itu sedangkan dia sendiri sebagai pelaku, tidak ingat langsung tentang kejadian itu. Malah wajah Farid juga tidak muncul di pemikirannya. Ya, Farid. Wajah dia. Jika Hanif melihat semula wajah Farid, barangkali memorinya akan kembali.
‘Maafkan saya ingin bertanya, awak masih ada gambar Farid?’ – Hanif.
Lama Hanif menunggu balasan daripada Farah. Dengan penuh debaran dia menunggu. Membaca kembali cerita Farah, dia mula berasa ragu dengan dirinya. Adakah dia penyebab hilangnya nyawa seorang kanak-kanak? Perasaan marahnya pudar bergantikan dengan kesedihan. Air mata mula bergenang memikirkan nasib Farid yang tidak panjang umurnya. Perasaan ibu bapa Farid yang kehilangan anak mereka. Dan dirinya, dirinya adalah punca.
‘Ini Farid.’ – Farah.
Gambar yang dihantar Farah kelihatan lusuh dan lama. Terpapar wajah kanak-kanak lelaki itu. Hanif membelek-belek gambar tersebut. Dia cuba sedaya upaya untuk mengimbau. Masih tidak berjaya. Tetapi satu perkara yang pasti, wajah Farid itu adalah wajah yang sama dengan kanak-kanak lelaki yang sering muncul di dalam mimpi-mimpinya. Hanif diselubungi rasa bersalah.
Hanif menghantarkan ucapan takziah dan permohonan maaf kepada Farah, meskipun dia sedar ia sudah terlambat. Farah menerima ucapan Hanif. Permohonan maaf, Farah menyatakan dia tidak ada hak untuk menerimanya. Farah juga berasa lega kerana rasa curiganya terhadap kepura-puraan Hanif tidak lagi menjadi rahsia. Dia juga kini mulai rasa ragu dengan kebenaran yang dilihat dengan matanya sendiri.
“Abang belum tidur?” soal Aini yang baru masuk ke dalam bilik setelah menonton televisyen di ruang tamu. Melihat mata suaminya yang kemerahan dan kebasahan menandakan suaminya baru sahaja menangis. Dia mula rasa bimbang dan cemas. Itulah pertama kali dia melihat suaminya menangis. Aini bertanyakan keadaan suaminya dan Hanif menceritakan semuanya, kisah mimpi, pertemuan dengan Yazid, dan juga perbualannya dengan Farah. Aini yang duduk bersebelahan Hanif menepuk-nepuk belakang suaminya itu.
“Abang jangan salahkan diri abang. Segala yang berlaku adalah takdir. Farid pergi kerana ajalnya. Abang berada di situ juga adalah aturan Allah. Apa yang Farah Nampak tidak semestinya kebenaran. Saya pasti abang tak bersalah. Buktinya, abang juga terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Farid bukan? Kalau abang memang berniat menolaknya, sudah pasti abang akan larikan diri.” Ucap Aini cuba menenangkan hati suaminya. Ada logiknya di sebalik rasional yang diberikan Aini. Hanif cuma mengangguk dan mengusap wajahnya dengan penuh penyesalan.
Sejak dari itu, tiada lagi mimpi yang sama dialami Hanif. Setiap kali pulang ke kampung, Hanif akan menziarahi kubur arwah Farid jika berkesempatan. Air matanya akan gugur setiap kali dia berada di kubur itu. bersalah atau tidak, hanya tuhan yang tahu. Meskipun tiada daya untuk dia mengembalikan nyawa Farid, dia lega kerana kini dia tahu akan kisah silamnya itu. Kisah silamnya itu juga membuatkan Hanif terus berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik.
Comments
Post a Comment